mutakhir

Dituduh bunuh pencuri motosikal

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

EMPAT lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki yang mencuri motosikal di belakang premis di Kiara Square, Jempol pada 5 Disember lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, S Sundhara, 25, R Puvaneswaran, 24, S Tavaraj, 19 dan B Sakthi Saravanan, 31 di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka didakwa bersama-sama membunuh hingga menyebabkan kematian terhadap mangsa, Wong Yew Khean, 47, di belakang premis itu antara 11 malam hingga 11.30 malam.

Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Redza Azhar menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala Sundhara dan Tavaraj diwakili peguam, Paul Krishnaraja.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 2:37pm
d