mutakhir

Ayuh pertahankan Baitulmaqdis

Oleh Zulfa Mohamad

NEGARA Islam perlu bertindak bagi menyelamatkan Baitulmaqdis sebagai hak Palestin termasuk memanggil duta Amerika Syarikat (AS) di negara masing-masing.

Ia susulan kenyataan Presiden AS Donald Trump yang mengisytiharkan kota suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel 6 Disember lalu.

Pengurus Cawangan Aman Palestin Pulau Pinang Budiyanto Unggun berkata, negara Islam perlu bertindak berani dengan mengusir duta AS di negara mereka sebagai reaksi terhadap kenyataan biadab Trump.

Beliau berkata, tidak cukup setakat 57 negara Islam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai hak Palestin dalam Deklarasi Istanbul tetapi tidak mengambil tindakan terhadap kenyataan biadab Trump.

“Perjuangan mempertahankan Baitulmaqdis sebagai hak milik Palestin bukan hanya menjadi perjuangan rakyat negara itu tetapi perjuangan seluruh umat Islam.

“Jadi, negara Islam melalui Pertubuhan Negara Islam (OIC) perlu mengambil tindakan berani demi menyelamatkan Baitulmaqdis daripada jatuh ke tangan Israel,” katanya selepas menyertai kira-kira 700 jemaah Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal, Pajak Song, Kepala Batas yang mengadakan demonstrasi membantah Trump selepas solat Jumaat, hari ini.

Jemaah turut membakar poster Trump kerana mengeluarkan kenyataan biadab serta menyokong Israel dalam isu Baitulmaqdis.

Pada masa sama, Budiyanto berkata, pihaknya melancarkan program Jom Menyumbang RM50 untuk membantu rakyat Palestin yang berjuang untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

“Ada rakyat Palestin yang berhenti kerja semata-mata untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada jatuh ke tangan rejim Zionis. Jadi, mereka perlu dibantu untuk meneruskan perjuangan murni itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 5:57pm
d