mutakhir

Ajal di gelanggang futsal

Oleh Aizat Sharif

“SAYA benar-benar terkejut atas pemergian mengejut menantu saya, walhal kami baru pergi bercuti bersama minggu lalu tetapi apakan daya ini semua sudah kehendak Allah SWT".

Begitulah luahan Ahmad Shukrie Ismail, 63, yang kehilangan menantunya, Mohd Noor Abdul Rahman, 46, akibat serangan jantung ketika bermain futsal di Kota Damansara, Petaling Jaya, awal pagi hari ini.

Ahmad Shukrie berkata, menantunya itu yang berasal dari Tumpat, tidak pernah menghadapi sebarang masalah kesihatan malah kelihatan ceria sepanjang bercuti bersamanya di Langkawi pada minggu lalu.

"Kami berasa seronok apabila dia, isterinya dan anak angkatnya sudi membawa saya dan isteri bercuti bersama mereka di Langkawi dan kami banyak menghabiskan masa bersama sepanjang percutian itu.

"Malah, arwah kelihatan ceria sepanjang percutian berkenaan dan tidak langsung menunjukkan tanda mengalami sebarang penyakit. Seingat saya dia tidak ada masalah kesihatan pun," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di kediamannya di Kampung FELCRA Kubang Palas, Padang Sanai, Padang Terap, hari ini.

Tambahnya lagi, dia sangat terkejut apabila menerima panggilan dari anak sulungnya, Suhaliza, 46, yang juga isteri kepada mangsa yang memaklumkan bahawa menantunya itu meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika bermain futsal dengan rakannya.

"Saya menerima panggilan kira-kira 1.30 pagi dari anak saya yang memaklumkan berita berkenaan.

"Ikutkan hati, susah untuk saya menerima pemergiannya tetapi ini adalah kehendak dan ketentuan Ilahi maka saya reda dengan pemergiannya,' katanya.

Dia berkata, menantunya itu yang bekerja sebagai pemandu lori sudah menetap hampir 30 tahun di Gohtong Jaya, Bentong bersama isterinya yang bekerja dengan bahagian kewangan di firma di Genting Highlands.

"Walaupun dia seorang ceria tetapi pada dasarnya, arwah adalah seorang pendiam namun begitu dia akan sentiasa pulang ke rumah saya ini apabila ada cuti panjang.

"Difahamkan, dia bermain futsal ini pun kerana mengikut pelawaan rakannya yang sangat akrab dengannya," katanya

Dia berkata, Allahyarham yang pengsan selepas mengalami serangan jantung itu kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suhaliza Ahmad shukrie, 46 dan seorang anak angkat, Sofia Abdullah, 3.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELCRA Kubang Palas, Padang Sanai, lewat malam ini.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 7:07pm
d