mutakhir

Lubuk jam tipu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menumpaskan sindiket jam tiruan berjenama dalam satu serbuan dilakukan di sebuah premis di Jalan Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 pagi, sebanyak 5,658 barangan yang terdiri daripada pelbagai komponen jam tiruan dianggarkan bernilai RM83,560 dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof W Taib berkata, pihaknya menerima aduan daripada wakil cap dagang yang memaklumkan mengenai aktiviti jualan jenama jam terbabit di akaun Facebook dan Instagram pemilik premis berkenaan.

“Berdasarkan aduan diterima, kami membuat serbuan di dua lokasi berasingan yang dikatakan menjadi lokasi sindiket berkenaan beroperasi sebelum pemeriksaan di premis di Jalan Pandan Indah, di sini, menemui 5,658 barangan pelbagai komponen jam tiruan.

“Bagaimanapun, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Segar, Cheras, di sini, kami tidak menemui sebarang barangan tiruan selain kotak kosong bertanda jenama jam berkenaan,” katanya.

Wan Mhd Yusof berkata, sindiket terbabit dipercayai menjual aksesori dan cetakan jenama jam berkenaan sebaik memperoleh bekalan komponen yang diimport dari negara luar.

“Hasil siasatan mendapati premis itu hanya membuat cetakan pada jam tiruan terbabit berdasarkan corak dikehendaki pelanggan sebelum dipasarkan ke seluruh negara selain Indonesia.

“Kami mengambil keterangan daripada pemilik premis untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 8:55am
d