mutakhir

Cuba lagi

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Kekurangan tenaga antara faktor Siti Nuraisyah Shahrin, 14, atau Ecah tidak mampu memberi persembahan terbaik dalam pertandingan sukan angkat berat, Asian Paralympic Committee, 3rd Asian Youth Para Games di Dubai awal minggu ini.

Ecah berkata, walaupun dia sudah menjalani latihan intensif sejak setahun lalu namun pada hari pertandingan dia tidak mampu mengangkat bebanan ketiga.

Menurutnya, dua angkatan sebelum itu dengan bebanan 50 kilogram berjaya dilakukan dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak berjaya mengangkat bebanan ketiga 51 kilogram, sekali gus tewas kepada peserta dari negara lain.

“Ketika di Dubai saya kurang makan menyebabkan saya tiada tenaga ketika hari pertandingan.

“Namun, saya akan berusaha lebih gigih lagi selepas ini terutama dalam mengawal pemakanan,” katanya, di sini, semalam.

Semalam Ecah bersama atlet negara tiba di tanah air kira-kira jam 1 tengah hari selepas seminggu berada di Dubai menyertai kejohanan berkenaan.

Sepanjang di Dubai Ecah ditemani jurulatihnya, Muhammad Nor Arif Abdullah.

Pertandingan itu dimenangi atlet Kazakhstan.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sungai Besar itu berkata, sejurus pulang ke tanah air dia akan menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi sirkit kebangsaan kali ke-3 di Kompleks Sukan Kampung Pandan akhir bulan ini dan selepas itu satu lagi kejohanan di Bandung, Indonesia tahun depan.

Ecah berkata, jadualnya kini dipenuhi dengan aktiviti latihan selain sesi persekolahan.

Walaupun tewas, Ecah gembira kerana dia memperoleh pengalaman berguna bersaing di peringkat antarabangsa bersama atlet lain.

“Pengalaman ini sangat menarik dan berguna buat saya kerana saya bersaing dengan atlet dari pelbagai negara lain.

“Banyak pendedahan saya peroleh sepanjang berada di Dubai dan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pelbagai pihak yang membantu saya selama ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 9:09am
d