mutakhir

Harap lebih bersemangat, selesa ke sekolah

Oleh Mary Victoria Dass

SERAMAI 90 kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor membeli pelbagai kelengkapan persekolahan tajaan syarikat pemaju Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) di Pasar raya Giant, Tampoi hari ini.

Pengarah Komunikasi Korporat CGPV, Aeron Munajat berkata, Program Kembali Ke Sekolah Bersama Kanak-Kanak Orang Asli Kampung Simpang Arang itu membolehkan mereka berusia antara 7 hingga 12 tahun memulakan sesi persekolahan baru dengan lebih bersemangat dan selesa.

Beliau berkata, program tanggungjawab sosial syarikat berkenaan juga menyaksikan penyertaan daripada 50 sukarelawan bagi melancarkan aktiviti membeli-belah.

Menurutnya, sukarelawan berkenaan terdiri daripada pekerja di kawasan dibangunkan CGPV di Forest City, Phoenix Hotel dan Forest City Golf Hotel.

Katanya, sukarelawan berkenaan juga membantu kumpulan kanak-kanak berkenaan dari keluarga kurang berkemampuan bagi memilih kelengkapan persekolahan yang sesuai.

"Setiap kanak-kanak berkenaan membeli beberapa kelengkapan sekolah termasuk seragam sekolah, kasut dan peralatan tulis bernilai RM300.

"Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah mereka memandangkan dapat memilih sendiri kelengkapan sekolah yang bakal digunakan pada sesi persekolahan tahun depan," katanya.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Nur Syarini Roki, 11, berkata dia seronok apabila berpeluang membeli kelengkapan sekolah bersama rakan-rakannya.

"Ibu dan bapa saya merupakan nelayan dan saya adalah anak bongsu daripada 10 beradik.

"Ini adalah kali pertama saya memiliki dua pasang seragam sekolah dan kasut sekolah berikutan sebelum ini ayah hanya membelikan sepasang saja kerana kesempitan wang.

"Saya berterima kasih dengan sumbangan ini dan tidak sabar membawa pulangnya dan berkongsi pengalaman pada hari ini bersama keluarga," katanya.

Sementara itu, seorang ibu penerima sumbangan, Julina Siam, 34, berkata dia bersyukur kerana dua cahaya matanya terpilih bagi menyertai program itu.

"Saya yakin ini adalah rezeki anak kerana pada tahun lalu mereka juga menerima sumbangan seragam sekolah dari pihak lain.

"Saya harap sumbangan ini mampu menyuntik semangat anak-anak saya dan kanak-kanak lain untuk belajar lebih bersungguh-sungguh," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 2:49pm
d