mutakhir

[UPDATE] Dah beri keterangan di pejabat JAIS

Oleh Faliq Lajim

PENGARAH bahagian di sebuah agensi penguatkuasaan yang ditahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah memberi keterangan di pejabat JAIS jam 2 petang hari ini.

Turut memberi keterangan adalah seorang wanita yang juga ibu tunggal dan bertugas sebagai pegawai di agensi sama.

Mereka dilihat berada di Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS jam 2 petang untuk memberi keterangan kepada pegawai JAIS.

Usaha mendapatkan komen kedua-duanya gagal apabila mereka meninggalkan bangunan itu melalui pintu belakang di pejabat berkenaan.

Media hanya menyedari kedua-dua individu berkenaan meninggalkan bangunan itu jam 3.45 petang.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan JAIS, Nurhamizah Othman ketika dihubungi mengesahkan ada tangkapan oleh pihaknya pagi tadi.

"Setakat ini kita tak dapat sahkan apa-apa lagi berikutan tiada maklumat berkenaan individu berkenaan.

"Kami boleh sekadar mengesahkan memang ada tangkapan pagi tadi," katanya.

Menurutnya, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kassim kini berada di luar negara atas urusan kerja.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan pengarah bahagian itu ditahan dalam satu serbuan JAIS pagi ini kerana kesalahan berkhalwat.

Sumber berkata, pegawai kanan kerajaan itu yang bertugas di Putrajaya ditahan bersama pasangannya yang juga ibu tunggal dan bertugas sebagai pegawai di agensi sama.

Pasangan itu ditahan di sebuah kondominium di Taman Equine, Seri Kembangan kira-kira jam 3 pagi tadi.

Berita berkaitan:

'Top gun' agensi penguatkuasaan ditahan khalwat

Disiarkan pada: December 16, 2017 @ 8:52pm
d