mutakhir

Kerajaan mansuh pelaksanaan IMAMS

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) membatalkan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) semalam selepas mengambil kira bantahan pelbagai pihak.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembatalan itu dibuat sehari selepas ia dilancarkan berikutan pelbagai masalah termasuk menimbang semula kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan kepada jemaah umrah.

Katanya, syarikat terbabit didapati tidak memberikan maklumat betul pada awalnya dan beliau hanya mengetahuinya beberapa jam selepas sidang media di Putrajaya kelmarin.

“Apabila dibuat semakan memang betul ada seorang COO (Ketua Pegawai Operasi) sendiri (bukan beragama Islam) dan beliau sudah meletakkan jawatan dalam syarikat terbabit.

“Tetapi bagi saya ia tidak menyelesaikan masalah kerana kemusnahan sudah berlaku.

“Sebab itu kita mengambil kira apa yang berlaku dan membatalkannya. Menteri (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) juga sudah dihubungi dan beliau mengarahkan sistem ini dibatalkan,” katanya dalam sidang di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) berkata, pihaknya akan mengkaji semula kaedah terbaik untuk menjaga kepentingan jemaah umrah negara ini selepas mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit.

“Pertama cadangan ini perlu dibawa kepada KPK dan MKSU, kedua kita akan buat kajian menyeluruh mengenai pasaran dan sebagainya untuk memastikan keberkesanannya serta ketiga tidak membebankan rakyat,” katanya.

Menurutnya, MKSU yang dianggotai pihak berkaitan pengendalian umrah termasuk persatuan pelancongan akan turut mengkaji mekanisme terbaik berkaitan GST yang lebih berpatutan.

Katanya, kadar insurans yang dikenakan nanti perlu komprehensif mencakupi perlindungan untuk bagasi, penginapan, pengangkutan, kemalangan serta tidak terhad kepada tuntutan sehingga RM2,000 atau RM3,000 seperti diguna pakai kini.

Beliau juga memberi amaran kepada syarikat pengendali umrah supaya tidak menjual visa umrah dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memilih syarikat terbabit.

“Kementerian akan tetap komited dan membantu demi kemaslahatan umat dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 7:32am
d