mutakhir

Bersemadi sebelah anak

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Jenazah isteri Ketua Polis Negara, Allahyarhamah Puan Sri Azizah Hamdi, 58, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Rapat Jaya di sini, semalam bersebelahan kubur anak lelaki tunggalnya yang meninggal dunia pada 24 Januari 2007 ketika berusia 17 tahun.

Majlis pengebumian dihadiri 1,000 orang termasuk pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketua polis negeri, pegawai kanan polis, ahli keluarga dan orang ramai.

Antara yang hadir adalah, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Abd Rahim Hanafi, Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan serta ketua polis negeri lain.

Terdahulu jenazah tiba di kampung halaman Allahyarhamah jam 1 pagi semalam selepas bertolak dari IPK Selangor jam 11 malam.

Talkin dibacakan Pegawai Turus JIPS Bukit Aman Asisten Komisioner Ghazali Daud dan bacaan tahlil dipimpin Ustaz Mohd Azmi Ismail dari JIPS IPK Perak.

Seluruh warga PDRM melahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga Ketua Polis Negara atas kehilangan isteri tercinta dan ucapan takziah itu dimuat naik di laman Facebook rasmi PDRM.

Sementara itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menguruskan jenazah isterinya selain kepada mereka yang hadir.

Hasil perkongsian hidup Mohamad Fuzi dan arwah isterinya dikurniakan anak Nur Najwa, 29, Allahyarham Mohd Faiz, Nur Mahira, 25 dan Nur Syafiqah, 23.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 7:50am
d