mutakhir

Bapa keji dipenjara 18 tahun, 10 sebatan [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PENIAGA dihukum penjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan merogol anak perempuannya berusia 10 tahun, September lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 50 tahun mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Oktober 2017.

Mengikut pertuduhan, bapa lapan anak itu didakwa merogol anak perempuannya berusia 10 tahun empat bulan di sebuah rumah tanpa nombor di Beris Kubur Besar, Bachok antara 9.30 malam hingga 11.15 malam, 22 September 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh ke rumah bekas isterinya untuk mengambil mangsa tidur di rumahnya namun mangsa enggan.

Selepas ibunya memujuk, mangsa mengikut bapanya.

Pada 11.30 malam, mangsa pulang ke rumah dihantar kakaknya dalam keadaan berlainan dan selepas dipujuk, mangsa memberitahu dirogol bapanya dan ini bukan kejadian kali pertama.

Pada 12 Oktober lalu, tertuduh sekali lagi datang mahu mengambil mangsa namun ibunya tidak membenarkan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menyara anak yang ramai.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira perbuatan sumbang mahram terhadap anaknya sendiri.

"Perbuatan keji dengan meragut kesucian anak sendiri ini mengakibatkan mangsa trauma dan saya mohon hukuman sebat turut dikenakan terhadap tertuduh" katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 1:07pm
d