mutakhir

Sampai tumbang tiang elektrik dibuatnya...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TRELER membawa muatan kontena melebihi ketinggian, tersangkut pada kabel elektrik menyebabkan kabel itu putus dan tiang elektrik tumbang di Jalan Langgar, Alor Setar menghala ke Plaza Tol Lebuhraya PLUS Alor Setar Utara, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu juga menyebabkan berlaku kesesakan sejauh 400 meter di kawasan terbabit selain di lebuhraya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pemandu treler berusia 50-an itu dalam perjalanan dari Jalan Langgar menghala ke plaza tol terbabit namun sebaik tiba di lokasi kejadian, treler terbabit tersangkut pada kabel elektrik.

Menurutnya, akibatnya tiang elektrik tumbang dan kabel putus menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan terbabit.

"Anggota trafik kemudian membuat kawalan lalu lintas dan menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan susulan.

"Kejadian itu tidak membabitkan kecederaan kepada mana-mana pihak dan hanya menyebabkan kerosakan harta awam," katanya.

Anggota trafik yang bertugas turut membantu van yang rosak selepas Plaza Tol Alor Setar dengan menolaknya sejauh 200 meter ke tepi jalan untuk melancarkan kesesakan.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 2:51pm
d