mutakhir

Terjunam dalam gaung

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

EMPAT cedera termasuk seorang wanita warga emas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Lenggeng-Pantai, dekat Hutan Lipur Lenggeng, Nilai, malam tadi.

Napsiah Idris, 70, bersama pemandu Emmer Faizal Abd Rohim, 28, Hanisah Md Ladzim, 29, dan Muhammad Ariyan Aripan, 18, cedera di badan dan muka akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mereka yang menaiki Proton Saga dikatakan dalam perjalanan dari Nilai ke Jelebu.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu dikatakan cuba mengelak objek yang melintas menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam gaung setinggi 15 meter.

"Kejadian itu menyebabkan semua mangsa terperangkap. Orang awam yang menyedari kejadian, segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin untuk bantuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaldino berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan LN166/59.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 3:56pm
d