mutakhir

Mayat Putra Aminurrashid ditemui

Oleh Ibrahim Isa

MAYAT Putra Aminurrashid Zaidi, 21, yang hilang sejak dua hari lalu di perairan Pulau Kukup, Pontian, Johor, ditemui 2 petang hari ini, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Timbalan Pengarah (Operasi) Komander Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Haris Fadzillah Abdullah berkata, mayat ditemui sekumpulan nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula 8 pagi tadi.

Menurutnya, mayat dibawa ke Jeti Kukup untuk pengecaman oleh keluarga sebelum dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.

“Bermula 8 pagi tadi, SAR dibahagikan kepada empat sektor dan diperluaskan hingga ke sempadan Singapura dan Indonesia membabitkan 67 kekuatan.

“Sebaik mayat ditemui, SAR dihentikan serta merta dan kes diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SAR dijalankan selama tiga hari sejak petang Jumaat lalu, selepas Putra Aminurrashid terjatuh ke laut ketika cuba meleraikan tali pancing yang tersangkut pada enjin bot di perairan Pulau Kukup, dalam kejadian 5.30 petang.

Ketika kejadian, mangsa dari Kampung Kebun Baru Sungai Durian, Kukup, bersama adik ipar dan adiknya memancing sejak 11 pagi sebelum terjatuh dipukul ombak kuat.

Bagaimanapun, adik dan adik iparnya tidak boleh berenang atau mengendalikan bot milik datuk mangsa menyebabkan mereka terpaksa menunggu nelayan memberikan bantuan sebelum membuat laporan polis.

Berita berkaitan

Nelayan dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 3:57pm
d