mutakhir

Cinta bertaut di reunion [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

PERTEMUAN semula rakan-rakan sekolah selepas tidak bersua selama empat tahun, membuahkan bibit-bibit cinta hingga membawa ke jinjang pelamin hari ini bagi pasangan Mohamed Fikri Mohd Abdul Rahman Balin dan Nur Husnina Mohd Zuki yang masing-masing berusia 25 tahun.

Mereka antara 24 pasangan pengantin yang menyertai Majlis Pernikahan Beramai-ramai Peringkat Pasir Gudang 2017 anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dengan kerjasama Jabatan Agama Johor menerusi Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru.

Mohamed Fikri yang bekerja sebagai penyelia di stesen minyak berkata, mereka mula mengenali antara satu sama lain ketika berada di tahun 5, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 3.

"Ketika itu kami belajar di dalam satu kelas dan sering bertengkar, boleh dikatakan seperti musuh pun ada juga.

"Hubungan kami seterusnya semakin baik ketika di sekolah menengah dan pernah satu ketika kami jatuh hati, namun ia hanyalah cinta monyet dan bertahan selama beberapa bulan.

"Kemudian kami terputus hubungan kerana masing-masing melanjutkan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun ‘reunion’ yang diadakan Kelab Teater Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 3 pada 2013 mengeratkan hubungan kami hingga mengikat tali pertunangan tiga bulan lalu,” katanya.

Mohamed Fikri berkata, dia menyedari mengenai majlis pernikahan beramai-ramai itu menerusi ibunya yang dihebahkan dalam laman sosial sebelum persetujuan dibuat selepas perbincangan kedua-dua belah keluarga.

"Jika mengikut perancangan asal, kami bercadang untuk berkahwin pada tahun depan.

"Kami bersyukur dapat menyertai program ini kerana sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk menjadi raja sehari.

"Kami bercadang mengadakan kenduri kesyukuran pada 23 Disember depan untuk menjemput kenalan dan saudara-mara yang tidak dapat hadir pada hari ini memandangkan setiap mempelai hanya boleh membawa 100 tetamu," katanya.

Nur Husnina berkata, dia sememangnya mahu menyertai program seumpama itu selepas melihat sepupunya merakamkan hari bersejarah pada majlis pernikahan beramai-ramai sebelum ini.

"Saya berpendapat ia lebih meriah sekiranya dapat melangsungkan perkahwinan pada majlis seumpama ini,” katanya yang bekerja sebagai jururawat di klinik swasta.

Program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang.

Hadir sama, Setiausaha MPPG, Saipol Rahman Amat.

Maulizan berkata, kesemua pasangan berkenaan dinikahkan oleh enam jurunikah yang diketuai Dzulkafli Mohamed.

Beliau berkata, kesemua pasangan tidak dikenakan sebarang bayaran bagi menyertainya sebaliknya mereka hanya perlu menyediakan baju pengantin.

"Setiap pasangan pengantin juga berpeluang untuk mengundang 100 tetamu.

"Kami mengucapkan tahniah kepada semua pengantin dan diharap program seumpama ini diadakan secara berterusan bagi mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan di samping menyokong serta menggalakkan tuntutan syariat," katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 4:59pm
d