mutakhir

Masuk ke Jeli untuk mencuri

Oleh Rosliza Mohamed

WARGA Thailand berusia 34 tahun hanya sempat melarikan diri sejauh kira-kira lima kilometer sebelum ditahan polis kerana menunggang motosikal curi di Kampung Gemang Ayer Lanas, Jeli, 5 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli Asisten Superintendan Ahmad Haizan Abdullah berkata, sebelum itu anggotanya menjalankan Op Lejang untuk membanteras kejadian mencuri kenderaan.

Katanya, ketika rondaan dijalankan, pihaknya terserempak dengan suspek yang menunggang motosikal Honda EX-5 dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kulim, Jeli.

"Sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mengarahkan berhenti, suspek bertindak memecut motosikal.

"Kami terus mengejarnya sebelum motosikal ditunggangnya terbabas di bahu jalan.

"Ketika menangkap suspek berlaku pergelutan sehingga menyebabkan dia luka di lutut, hidung, bibir dan bengkak di pipi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan pada beg sandang yang dipakai suspek menemui pemutar skru, satu batang besi tajam, dompet mengandungi sekeping salinan kad pengenalan Thailand.

"Dalam satu lagi beg, kita turut menemui beberapa peralatan pecah rumah dan mencuri motosikal.

"Kita turut temui satu kotak hitam mengandungi tiga tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah dan sebilah pisau," katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati motosikal itu milik seorang individu dari Jambatan Sungai Pergau Chegal Bedil, Kuala Balah, Jeli.

"Siasatan awal, suspek mengaku mencuri motosikal itu dan dia juga positif methampetamine selain tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 5:12pm
d