mutakhir

Kena cabul di khalayak ramai

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita dicabul di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Majid Jamek, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 20 tahun memaklumkan kejadian pada 10.20 malam, hari sama.

Katanya, berdasarkan laporan mangsa yang juga penuntut politeknik mendakwa, dia dicabul oleh seorang lelaki sewaktu menaiki eskulator di stesen terbabit pada 7.50 petang.

"Pengadu mendakwa sewaktu berada di eskulator, dia disentuh di bahagian kemaluan oleh seorang lelaki dan suspek terus bergerak melarikan diri.

"Bagaimanapun, rakan pengadu sempat merakamkan gambar suspek.

"Susulan itu, pihak polis sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak pengurusan stesen LRT terbabit bagi siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak bagi tindakan lanjut mengenalpasti dan mengesan suspek.

Kejadian turut tular di media sosial apabila mangsa dan rakan memuat naik status mengenai kejadian itu di laman Twitter serta memaklumkan kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 7:05pm
d