mutakhir

Bina 'fire post' di kawasan tumpuan

Oleh Hamzah Osman

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia mewujudkan lebih banyak 'Fire Post' (FP) di kawasan tumpuan ramai dan berisiko tinggi kebakaran di seluruh negara sebagai inisiatif untuk mengurangkan masa respon atau masa bomba tiba di lokasi kejadian.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata, sehingga kini sebanyak enam FP pelbagai saiz dan bentuk mengikut kesesuaian sesuatu kawasan sudah dibina di negara ini termasuk terbaharu di Pantai Chenang, Langkawi.

"Antaranya terdiri daripada tiga FP dibina di Kuala Lumpur, selain masing-masing satu di Melaka, Johor dan terbaru di Kedah dengan menelan kos antara RM30,000 dan RM50,000 sebuah.

"Bagaimanapun, FP ini hanya dibina jika keadaan mendesak dan ia lebih murah berbanding membina Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang baharu dengan anggaran kos kira-kira RM3 juta sebuah," katanya pada sidang media selepas merasmikan FP di Pantai Chenang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Saimon Jahid dan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda.

Wan Mohd berkata, tujuan pembinaan FP adalah bagi memperbaiki masa respon kepada anggota bomba yang terbabit mengawal kebakaran selain mengelak kemusnahan yang lebih teruk kepada premis apabila sesuatu kejadian buruk berlaku.

"Misalnya jika ada kebakaran di Pantai Chenang, anggota bomba dari BBPM Kuah terpaksa mengambil masa respon sehingga 20 minit untuk tiba di lokasi, malah lebih lama jika keadaan trafik sesak.

"Pendekatan yang paling baik bagi mengurangkan masa respon bagi kes kecemasan adalah membina FP berdekatan kawasan tumpuan ramai dan berisiko kebakaran seperti kawasan hotel dan pusat perniagaan," katanya.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata, sebuah BBP baharu kategori D akan di bina di pekan Padang Matsirat, Langkawi, di sini, awal tahun depan.

"Projek BBP baharu di Padang Matsirat sudah diluluskan kerajaan dan kini dalam proses untuk ditender dan saya yakin kerja tapak akan dimulakan tahun depan," katanya.

Terdahulu, sepasukan anggota bomba turut mengadakan demonstrasi memadam kebakaran membabitkan sebuah chalet dengan terdapat seorang mangsa yang terbakar untuk tontonan tetamu jemputan.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 7:29pm
d