mutakhir

Tragedi cuti sekolah [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANAK-kanak lelaki ditemui lemas di kawasan pusat rekreasi Sungai Batu Pahat, Kangar, dipercayai tergelincir hari ini.

Mangsa, Syawal Aiman Ismail, 12, dari Kampung Bakong, Jawi Permatang, Arau dipercayai tergelincir dari tebing pusat rekreasi itu sebelum ditemui lemas 3 petang selepas dia tidak pandai berenang.

Saksi kejadian, Adzlin Junaira Mohd Nasir, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di pondok berhampiran pusat rekreasi berkenaan sambil menemani anaknya yang bermain di kawasan terbabit.

"Kemudian datang sekumpulan kanak-kanak ke pondok saya berehat bertanyakan mengenai seorang rakan mereka yang tiba-tiba hilang.

"Saya beritahu mereka bahawa saya tidak terlihat kanak-kanak terbabit sebelum mereka beredar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Adzlin berkata, sejam kemudian sekumpulan remaja lain datang dan memberitahu mereka terpijak satu objek di dalam sungai pusat rekreasi itu.

"Saya meminta mereka turun semula untuk periksa kali kedua bagi memastikannya dan selepas diperiksa mereka pasti itu adalah manusia.

"Saya kemudian terus menghubungi pihak bomba dan polis memaklumkan penemuan mayat kanak-kanak itu," katanya.

Sementara itu, kakak mangsa yang enggan dikenali berusia lewat 20-an berkata, adiknya itu keluar dari rumah kira-kira 10 pagi bersama rakan-rakannya dengan basikal.

"Adik keluar dari rumah bersama rakan-rakannya seramai 12 orang pagi tadi untuk ke kawasan pusat rekreasi berkenaan.

"Berita kematiannya saya tahu daripada pihak polis selepas mereka menghubungi saya yang berada di rumah ketika itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kita ada terima laporan mengenai seorang murid berusia 12 tahun lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 8:27pm
d