mutakhir

Sasar pengambilan 20% pelatih bukan Melayu sertai MTD

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan Malaysia menyasarkan pengambilan 20 peratus pelatih bukan Melayu bagi kemasukan ke Maktab Tentera Diraja (MTD) bagi merapatkan jurang antara kaum di institusi pengajian berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, sasaran itu adalah antara usaha menggalakkan bangsa lain untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, bagi tujuan itu, pihak MTD akan bertindak secara proaktif pada tahun depan dengan menggerakkan pelbagai promosi bagi mencapai sasaran berkenaan selain mendapatkan calon yang berkualiti.

“Tidak ada kuota yang ditetapkan untuk pengambilan anggota tentera termasuk pelajar di maktab ini. Bagaimanapun kita sudah ada program turun padang berjumpa pihak tertentu supaya pengambilan terdiri daripada pelbagai kaum dapat dilakukan.

“Bagi pengambilan tingkatan empat MTD untuk 2018, sebanyak 2,138 permohonan secara dalam talian diterima merangkumi 91.2 peratus calon Melayu dan hanya 8.8 peratus calon kaum lain. Daripada jumlah itu, 356 calon lulus temu duga awal bagi mengisi 200 kekosongan iaitu 86.8 calon Melayu dan 13.2 calon kaum lain,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan Putera MTD Sungai Besi, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 498 pelatih MTD terdiri daripada 231 Putera tingkatan lima dan 267 Putera tingkatan empat tampil dengan keunikan berbeza apabila buat julung kalinya memakai pakaian istiadat pada Perbarisan Tahunan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Putera MTD, Pegawai Rendah Kanan Ilman Hakim Azan, 17, berkata, dia bersyukur apabila usaha kerasnya selama dua tahun berjaya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kementerian Pertahanan 2017.

“Ia menjadi perangsang untuk saya terus berusaha pada masa akan datang bagi mencapai impian untuk menjadi juruterbang suatu hari nanti dengan berhasrat dapat menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia atau Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas ini.

“Saya bersama rakan-rakan turut gembira dan teruja apabila kami diberikan penghormatan untuk memakai pakaian istiadat pada perbarisan kali ini yang berbeza dengan tahun sebelumnya yang hanya memakai baju nombor tiga dalam kawad,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 7:49am
d