mutakhir

KAF bantu budak derita kanser tulang

Oleh Shahrinnahar Latib

Temerloh: Penderitaan seorang pesakit kanser tulang tahap empat, Muhammad Danial Izmir Mohamad Azmi, 9, di FELDA Lakum, Lanchang, dekat sini, mendapat perhatian Persatuan Kami Anak Felda (KAF) yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan kepadanya.

Penyelaras Kawasan FELDA Wilayah Mempaga di Bawah Biro Ekonomi dan Usahawan KAF, Mohd Izwan Yahaya berkata, pihaknya berharap bantuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung keluarga berkenaan.

“Kami juga menggunakan mana-mana saluran yang boleh untuk membantu adik Danial Izmir bagi mengubati penyakit dihidapinya.

“Jika adik Danial Izmir perlu dirawat mana-mana pakar, kos rawatannya mungkin boleh kami bantu mengikut kemampuan KAF,” katanya ketika melawat Muhammad Danial Izmir di rumahnya, kelmarin.

Harian Metro pada Sabtu lalu melaporkan mengenai penderitaan Muhammad Danial Izmir yang menghidap kanser tulang tahap empat sehingga mengakibatkan kaki kanannya membengkak.

Malah, kanak-kanak berkenaan juga enggan membenarkan kakinya dipotong walaupun ia perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu disahkan menghidap kanser tulang sejak Mei tahun lalu selepas mengalami demam yang teruk.

Sementara itu, bapanya, Mohamad Azmi Si-Hasnan, 42, berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB (7615854237) atas nama Mohamad Azmi Si-Hasnan atau hubunginya di talian 017-9692464.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 10:20am
d