mutakhir

Panik anak gadis sesak nafas

Oleh HM Digital

Kuantan: “Saya panik apabila mendapat tahu anak perempuan sesak nafas selepas terperangkap dalam bilik yang sedang terbakar dan dipenuhi kepulan asap,” kata pemandu teksi, Hamidi Abd Rahim, 51, yang kerugian RM10,000 apabila sebuah bilik di rumahnya di Taman Kampung Padang, di sini, terbakar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari, anak perempuannya, Norhasmiza Ilyani, 18, terselamat selepas berjaya keluar namun mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

Hamidi berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian terbabit melalui jiran dan bergegas pulang ke rumah untuk melihat keadaan anaknya yang tinggal seorang diri ketika itu.

Katanya, dia terkejut apabila melihat bilik anak perempuannya musnah akibat kebakaran itu namun bersyukur kerana anaknya tidak mengalami kecederaan kecuali sesak nafas.

“Saya bersyukur kerana pasukan penyelamat sempat menyelamatkan nyawa anak saya yang ketika itu hampir pengsan kerana mengalami kesukaran untuk bernafas,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, kebakaran bilik itu hanya membabitkan 40 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.46 tengah hari.

“Mangsa disahkan selamat selepas mendapat bantuan awal anggota Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Unit Forensik JBPM akan ke lokasi untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 10:28am
d