mutakhir

Pertahan adat pakai tengkolok

Oleh Mohamad Yatim Latip

Melaka: Walaupun sudah melangkau usia ratusan tahun, namun adat budaya Melayu lama tetap bertunjang dan nilai budaya dahulukala perlu diperjuangkan supaya tidak ditelan zaman.

Berikutan itu, Jaringan Adat Budaya Anak Tempatan (JABAT) mengambil langkah proaktif dengan menggembleng usaha memperkenal tengkolok adat yang juga dikenali sebagai antara busana masyarakat Melayu pada zaman dahulu kepada golongan muda dan dewasa di Kampung Duyong, di sini.

Pengarah Unit Promosi JABAT Razali Muhamat berkata, bersesuaian dengan itu pihaknya memberi pendedahan bermula dengan teknik atau cara melipat tengkolok.

Menurutnya, tengkolok dipakai orang zaman dahulu, dilipat sendiri oleh pemakainya memandangkan ia pakaian basahan atau harian.

Justeru, katanya, pihaknya memberi tunjuk ajar kepada golongan terbabit teknik lipatan tengkolok yang dibentuk dengan kemas dan rapi.

“Kita mengumpulkan 30 peserta berusia dari enam hingga 60 tahun untuk mempelajari teknik melipat tengkolok mengikut adat budaya Kampung Duyong.

“Meskipun cuma sesi pengajaran, namun bentuk tengkolok yang dihasilkan secara tidak langsung melambangkan lipatan daripada tangan anak Kampung Duyong sendiri sama seperti zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka,” katanya ketika ditemui di Rumah Tradisional Melayu Melaka (Mak Mah), Perigi Hang Tuah, Kampung Duyong, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dramatis veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz turut hadir pada sesi mempelajari teknik melipat tengkolok sekali gus menjadi ikon JABAT.

Katanya, teknik melipat tengkolok itu membabitkan falsafah anak Duyong iaitu ada enam jenis tengkolok adat seperti tengkolok adat Kampung Duyong, Jambatan Duyong, Duyong Tengah, Permatang Duyong, Bukit Duyong dan Seri Duyong.

Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya mempromosikan tengkolok berkenaan bermula pada Januari hingga 31 Ogos akan datang.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 10:41am
d