mutakhir

Dua beradik antara lima individu dicari

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS memburu lima individu bagi membantu siasatan membabitkan kes bunuh dan jenayah kekerasan di sekitar Pasir Mas sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, individu berusia 26 hingga 32 tahun itu sehingga kini masih belum dapat dikesan.

Katanya, antara individu yang diburu adalah Saw Kim San, 31, beralamat di Jalan Besar, Tumpat yang terbabit dalam kes bunuh di sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang, pada 17 Ogos lalu.

"Kita juga mengesan Mohd Ghadafi Zamri, 27, dari Kampung Tok Pelandok, Pasir Mas dan Mohd Hafizi Zakaria, 28, dari Kampung Bayu Lalang yang terbabit dalam dua kes tetak berasingan.

"Pada masa sama, dua beradik Azizie Mohd Yatim, 26 dan abangnya Adlie, 32, turut diburu bagi siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan di Banggol Ara, Pasir Mas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya kesemua individu terbabit masih berada di negeri ini.

"Kita juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyembunyikan individu ini kerana mereka boleh dikenakan tindakan kerana bersubahat.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke IPD Pasir Mas di talian 09-7932222 atau mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 11:21am
d