mutakhir

Rempit sampai balai polis

Oleh Zulfa Mohamad

RATUSAN mat rempit didenda menolak motosikal sejauh tiga kilometer dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam ke Balai Polis Butterworth selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan bermula 4 petang semalam.

Sebelum itu, kelibat kumpulan mat rempit dilihat mempamerkan aksi bahaya dan ada yang membawa teman wanita.

Bagaimanapun, kumpulan mat rempit tidak menyedari aksi mereka diperhatikan anggota polis yang membuat penyamaran dengan berpakaian preman di sekitar R&R terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik SPU Asisten Superintendan Zulkifli Azizan sambil dibantu pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Kontinjen, dua anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan lapan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, dalam operasi berakhir 2 pagi tadi itu, sebanyak 545 motosikal diperiksa dan 15 penunggang didapati berusia 16 tahun.

"Sebanyak 335 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 27 motosikal disita.

"Sudah banyak kali operasi dijalankan di lokasi berkenaan tetapi mat rempit tidak serik dan masih menjadikan kawasan berkenaan sebagai tumpuan kegiatan mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, 18 penunggang ditahan AADK mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian air kencing mereka didapati positif dadah.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 11:56am
d