mutakhir

Kerjasama strategik perangi rasuah

Oleh Norizuan Shamsuddin

AMANAH Raya Berhad (AmanahRaya) menyahut seruan memerangi rasuah dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Han Chee Rull berkata, IBR adalah langkah proaktif diambil oleh AmanahRaya untuk memelihara integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugas diamanahkan.

Katanya, langkah terbabit juga dapat memastikan agensi berkenaan bebas daripada pengaruh rasuah.

"Dalam memastikan AmanahRaya melaksanakan tugas dengan mantap, saya cadangkan AmanahRaya ambil inisiatif seterusnya dengan mencapai piawaian ISO 3701 iaitu satu piawaian standard antarabangsa di dalam sistem pengurusan pencegah rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani IBR di Wisma AmanahRaya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Pengurusan AmanahRaya Adenan Md Yusof yang mengetuai lafaz ikrar bersama hampir 100 kakitangannya.

Sementara itu, Adenan berkata, program IBR adalah kerjasama strategik yang dirangka oleh pihak pengurusan dengan SPRM bagi meningkatkan tanggungjawab di kalangan kakitangan agensi terbabit.

Katanya, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk melaksanakan cadangan SPRM bagi mencapai piawaian ISO 3701.

"Sebelum ini, kami tiada sebarang ISO pencegahan rasuah, maka dengan adanya cadangan daripada SPRM ini, saya akan melaksanakannya pada tahun hadapan,"katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 1:14pm
d