mutakhir

Dicekup belakang kedai

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

POLIS menahan seorang lelaki dan merampas satu pemutar skru dan tiga spanar dipercayai cuba digunakan untuk memecah masuk sebuah kedai makan di Jalan Meru Bistari B2, Jelapang, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan suspek yang tidak mempunyai pengenalan diri di belakang kedai makan terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pemeriksaan dijalankan terhadap suspek menemui sebuah beg berwarna merah mengandungi satu pemutar skru dan tiga spanar.

Katanya, suspek dipercayai cuba memecah masuk kedai makan berkenaan selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan di belakang premis itu.

"Pemeriksaan polis turut menemui kesan pecah pada pintu belakang (kedai makan). Suspek kemudian ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataannya di Ipoh, hari ini.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 2:58pm
d