mutakhir

Dah pasang perangkap

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan memasang perangkap bagi menangkap seekor harimau belang yang berkeliaran di kebun getah milik penduduk di Kampung Tong Lepang Anjung, Dabong, Kuala Krai.

Timbalan Pengarahnya, Ahmad Kamsul Alias berkata, pihaknya memasang satu perangkap menggunakan jaring dan besi sejak semalam.

Katanya, ia bagi memudahkan proses tangkapan harimau belang yang berada di kawasan berkenaan.

"Pihak kita terus bertindak membuat pemantauan dan siasatan di kawasan itu bagi memudahkan proses tangkapan haiwan berkenaan.

"Satu perangkap dipasang di kawasan yang disyaki sebagai laluan harimau dan berharap haiwan itu segera dapat ditangkap," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurutnya, binatang itu kemungkinan masuk ke kampung untuk mencari makanan selepas kawasannya terancam.

Katanya, penduduk dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi menjaga keselamatan dan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kepada mereka.

"Jika mereka terserempak dengan harimau atau haiwan berbahaya, kita minta penduduk maklumkan segera kepada PERHILITAN," katanya.

Harian Metro melaporkan, kira-kira 100 penduduk bimbang diganggu seekor harimau sejak dua minggu lalu di kawasan kebun getah di Kampung Tong Lepang Anjung, Dabong, Kuala Krai.

Kehadiran harimau disedari sejak 3 Disember lalu selepas penduduk terserempak dengan binatang itu ketika keluar menoreh getah.

Berita berkaitan

Harimau masuk kampung

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 3:53pm
d