mutakhir

Penyamun dicekup

Oleh Safuri Kamarudin

DUA lelaki yang terbabit dalam kejadian samun di tepi jalan berdekatan Taman Mesra Kupang, Baling Jumaat lalu ditahan polis semalam.

Suspek berusia 22 dan 25 tahun berasal dari Kupang itu ditahan 6.30 petang di belakang sebuah rumah di Kampung Raja, Kupang.

Ketua Polis Daerah Baling Superitendan Shariffuddin Yusuf, berkata, pihaknya menerima laporan daripada dua lelaki warga Indonesia disamun ketika dalam perjalanan ke pekan Kupang dengan motosikal untuk membeli keperluan dapur.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, suspek terus menahan mereka dan meminta untuk memeriksa pasport.

"Selepas 15 minit memeriksa mangsa, sebuah kereta Proton Wira dipercayai rakan suspek datang dan memaksa masuk ke dalam kereta itu sambil mengugut ingin membunuh mereka.

"Suspek kemudian mengambil barangan mangsa sebelum meninggalkan mereka di tepi jalan," katanya.

Shariffuddin berkata, mangsa kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian menghantar mereka ke Balai Polis Kupang.

"Mangsa juga mendakwa mengenali salah seorang suspek yang menyamun mereka.

"Sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu, kita mengadakan Op Cantas diketuai Inspektor Seanhilary Miting Pakoi untuk mengesan suspek," katanya.

Beliau berkata, hasilnya suspek berjaya ditahan dan merampas beg, telefon bimbit dan jam tangan jenis G-Shock.

"Ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah ganja dan suspek direman tujuh hari bermula hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 4:03pm
d