mutakhir

Mat rempit kurang ajar serah diri

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA mat rempit yang membelasah pemandu ambulans dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Taiping awal pagi semalam sudah dikenal pasti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan dikenal pasti berdasarkan maklumat dan keterangan daripada mangsa.

Menurutnya, seorang daripada suspek berkenaan dijangka akan menyerah diri bagi membantu siasatan.

“Tiga suspek sudah dikenal pasti dan seorang daripadanya akan menyerah diri malam ini.

“Keluarga suspek terbabit dijangka akan hadir ke balai polis untuk menyerahkan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan hanya kerana menegur sekumpulan mat rempit yang sedang berlumba, pemandu ambulans terbabit menerima empat jahitan di kening ditumbuk kumpulan remaja terbabit.

Dalam kejadian 1.40 pagi berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, PLUS, pemandu berusia 53 tahun itu cedera di kening kanan, manakala seorang jururawat wanita turut ditendang.

Sementara itu, mangsa ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya juga sudah dimaklumkan mengenai individu yang dipercayai memukulnya hingga cedera itu sudah dikenal pasti.

“Saya juga mungkin akan dipanggil polis untuk mengecam suspek berkenaan.

“Terdapat empat hingga enam mat rempit yang kesemuanya golongan remaja yang terbabit membelasah saya dan saya harap kesemuanya dapat dikesan dan ditangkap,” katanya.

Mangsa berkata, dia terpaksa cuti sakit selama dua hari susulan kejadian itu.

“Kening dan mata kanan saya masih bengkak akibat ditumbuk hingga luka serta terpaksa dijahit.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan kejadian yang menimpa saya termasuk pihak pengurusan Hospital Parit Buntar tempat saya bekerja yang turut datang melawat saya hari ini,” katanya.

Berita berkaitan

Mat rempit kurang ajar!

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 6:20pm
d