mutakhir

Tahanan reman mati

Oleh Siraj Mohd Zaini

TAHANAN di Lokap Berpusat Polis Shah Alam yang berada dalam tempoh reman, meninggal dunia ketika dalam perjalanan bagi mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, hari ini.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai G Ganeshwaran, 29, yang juga orang kena tuduh (OKT) bagi kes jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, OKT dikeluarkan dari lokap berpusat pada 10.15 pagi untuk dirakam percakapan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Menurutnya, apabila OKT sampai di pejabat JSJ pada 11.15 pagi, dia mengadu sakit asma, tidak makan, serta muntah-muntah.

"Ambulans sampai pada 12.15 tengah hari dan semasa OKT diperiksa pegawai perubatan mendapati dia normal kerana boleh berbual seperti biasa.

"OKT kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) namun pada 12.40 tengah hari, pihak hospital mengesahkan OKT mati semasa dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

OKT dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 385, 171 dan 392/395 Kanun Keseksaan dan ditahan reman mulai 15 Disember hingga 21 Disember ini.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 10:27pm
d