mutakhir

Lampin pakai buang tiruan dirampas

Oleh Nor Farhani Che Ad

SEBANYAK 65,000 keping lampin pakai buang tiruan bernilai RM17,299 dirampas Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani dalam satu operasi di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani, di sini, semalam.

Ketua Pejabat KPDNKK Cawangan Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, serbuan dilakukan pada 1.30 petang membabitkan tujuh anggota KPDNKK di sebuah kilang membuat lampin pakai buang yang dipercayai sudah menjalankan aktiviti pengeluaran lampin pakai buang tiruan sejak dua tahun lalu.

"Kita mendapat maklumat daripada pengadu iaitu pemilik jenama terbabit mengenai kegiatan kilang berkenaan yang menghasilkan jenama lampin pakai buang itu.

"Hasil siasatan mendapati kilang yang sudah beroperasi sejak 24 tahun itu mula menjalankan perniagaan menghasilkan lampin pakai buang sejak dua tahun lalu dan dipasarkan di Rantau Panjang, Kelantan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mazlan berkata, satu kertas siasatan dibuka dan akan disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan, membekalkan, menawarkan atau mendedahkan perihal dagangan palsu.

"Jika orang itu adalah suatu pertubuhan perbadanan, akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu.

"Manakala, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran keras terhadap mana-mana orang atau syarikat supaya tidak menjual atau mengedar produk tiruan.

"Kerajaan melalui KPDNKK akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang yang melanggar undang-undang berhubung penjualan barangan tiruan," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 1:38pm
d