mutakhir

Lagi kes lampin tiruan dirampas

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas sebanyak 169,250 keping lampin pakai buang dalam tiga serbuan di Rantau Panjang dan Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Dalam serbuan bermula 10 pagi itu, pihak berkuasa merampas lampin pakai buang jenama tiruan bernilai lebih RM73,000.

Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Harun berkata, serbuan dilakukan di dua premis di Rantau Panjang dan sebuah lagi di Wakaf Bharu.

Katanya, serbuan itu susulan laporan pemilik jenama lampin pakai buang yang mendapati produknya jenama POPO ditiru dan dijual di pasaran Kelantan serta negara jiran.

"Kita membuat serbuan dan mendapati tiga premis itu menggunakan jenama tiruan.

"Premis pertama dan kedua di Rantau Panjang, kita merampas 13,250 keping lampin pakai buang dan premis ketiga di Wakaf Bharu sebanyak 156,000 keping," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) KPDNKK Kelantan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tunjung, hari ini.

Seramai 300 pegawai kanan dan kakitangan sokongan KPDNKK hadir di majlis yang dirasmikan oleh Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof.

Semalam, KPDNKK Cawangan Sungai Petani turut merampas 65,000 keping lampin pakai buang tiruan jenama sama bernilai RM17,299 dalam operasi di Kawasan Perindustrian Bakar Arang.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, tiada tangkapan dibuat kerana pemilik tiada di premis dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan, membekal, menawarkan, mendedahkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan dengan cap dagangan berdaftar iaitu POPODRY.

Jika sabit kesalahan bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang menggunakan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala, syarikat boleh didenda tidak lebih RM15,000.

Berita berkaitan

Lampin pakai buang tiruan dirampas

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 4:18pm
d