mutakhir

Sekeluarga 'diganggu' gajah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEBUAH keluarga hidup dalam kebimbangan selepas rumah mereka diancam gajah sebanyak empat kali dalam kejadian di kampung Air Kayan, Jedok, Tanah Merah.

Mangsa, Zakaria Yusoff, 48, berkata, kejadian terbaru disedari pada 7.30 pagi, hari ini, apabila melihat pagar rumahnya rosak, kesan tapak kaki, malah haiwan itu turut meninggalkan najis di luar pagar.

Katanya, gajah turut makan pokok kelapa yang ditumbangkan pada minggu lalu.

"Saya jangka haiwan itu masuk pagar rumah ketika kami sedang tidur dan memusnahkan tanaman sebelum menghilangkan diri. Keadaan ini membuatkan kami sekeluarga risau dengan keselamatan kerana haiwan itu masuk dalam pagar sebanyak empat kali dan jaraknya hanya 15 meter dari kediaman.

"Sebelum ini, gajah yang sama sudah memasuki pagar rumah pada 10, 11 dan 12 Disember lalu dan memusnahkan empat pokok kelapa serta pokok pisang penduduk kampung.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ada datang memasang lampu biru berkelip dengan tujuan untuk menghalau gajah selepas kejadian minggu lalu, namun usaha itu tidak berjaya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zakaria yang bekerja sebagai guru berkata, dia risau dengan keselamatan isteri, Norhayati Zakaria, 44, dan empat anak sekiranya haiwan itu terus mengganggu serta memasuki kawasan rumah.

Katanya, penduduk kampung terutama penoreh getah bimbang dengan situasi itu dan mereka tidak berani keluar ke kebun masing-masing.

"Saya sudah membuat laporan kepada PERHILITAN dan mereka membuat pemantauan di kawasan ini, hari ini.

"Saya dan penduduk kampung berharap ada jalan penyelesaian kerana kami tidak mahu terus diganggu gajah," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 5:16pm
d