mutakhir

Rezeki pancing ikan RM1,500

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

IKAN kertang gergasi seberat 44 kilogram (kg) berjaya dijinakkan pemancing di Kampung Nelayan Kuala Kurau, Parit Buntar, malam semalam.

Shamsul Annuar Abdullah, 45, bersama anaknya Shahris Zakuan, 15, memancing di kawasan ban kampung itu kira-kira 11 malam dengan menggunakan umpan udang hidup dan pelampung berlampu.

Menurutnya, kira-kira 10 minit melabuhkan umpan, jorannya mula direntap dan mengarahkan anaknya untuk menarik pancing berkenaan.

"Anak memaklumkan ikan besar mengenai kail dan terlalu berat serta kuat melawan dan saya kemudian mengambil alih pancing berkenaan.

"Kira-kira sejam saya 'bertarung' dengan ikan itu dan beberapa kali hampir ditarik masuk ke dalam air," katanya.

Shamsul Anuar berkata, dia pada mulanya bimbang jika pancing ditariknya itu mengenai buaya bukannya ikan.

"Saya terkejut apabila melihat ikan kertang gergasi yang kebiasaannya hidup di tengah laut berjaya dinaikkan.

"Ikan itu kemudiannya dibeli seorang peraih dengan harga RM1,500," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 6:13pm
d