mutakhir

Kekesalan mat rempit

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

EMPAT mat rempit termasuk seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini kerana menunggang Yamaha LC 135 secara merbahaya, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd Azlin Che Lah, 21, Norshahizan Ismail, 32, Ahmad Asyraf Zakaria, 25, dan seorang lagi remaja berusia 18 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Aizuddin Zolkefly.

Mengikut pertuduhan, mereka berlumba dan melakukan aksi zig zag secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya sebanyak enam pusingan sebelum berhenti di kawasan Muzium Kota Lama, Kuala Kedah di simpang Kedai Karaoke Padang Garam dan simpang tiga Kampung Sungai Dua, 5 petang pada Jumaat lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Mohd Azlin, Norshahizan dan Ahmad Asyraf dihukum penjara lima hari serta denda RM5,000 selain turut menjalani tambahan hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Lesen mereka turut digantung selama dua tahun dan kesalahan itu akan direkodkan di dalam lesen memandu masing-masing.

Sementara hukuman ke atas pesalah juvana pula ditangguh sehingga 24 Januari tahun depan bagi mendapatkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dilepaskan dengan jaminan RM3,000 bersama seorang penjamin.

Mohd Azlin turut mengaku salah atas dakwaan menggunakan nombor pendaftaran palsu KEB 41 pada tarikh dan lokasi yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh penjara lima hari dan denda RM5,000 dan jika gagal membayar denda, tambahan hukuman penjara tiga bulan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Trafik, Asisten Superintendan Othman Abdullah manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro Ahad lalu melaporkan empat mat rempit ditahan dalam Op Samseng jalanan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah selepas terbabit lumba haram.

Polis yang melakukan pemantauan samseng jalanan ternampak empat penunggang Yamaha LC 135 berlumba antara satu sama lain di tempat kejadian.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 6:35pm
d