mutakhir

'Apalah saya nak beri anak isteri makan'

Oleh Rosli Ilham

DULU, rata-rata nelayan pantai di Paka, Dungun, mampu memperoleh RM2,000 seorang setiap bulan, namun kini tidak sampai RM300.

Semua itu disebabkan kehadiran bot pukat tunda yang sengaja merosakkan bubu dan unjam sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Alham Abdullah, 52, mendakwa, kebanyakan bot pukat tunda terbabit milik pengusaha tempatan yang menggajikan nelayan asing.

"Mereka sangat licik dan hanya beroperasi malam kerana tahu waktu itu pasukan penguatkuasa tidak bekerja.

"Dulu ke laut boleh dapat RM2,000 sebulan tetapi sekarang nak dapat RM300 pun susah. Kalau dibiarkan terus, habis nasib kami nak cari rezeki," katanya.

Menurutnya, kos membuat unjam dan bubu menelan belanja RM500 sebulan selain memperuntukkan RM150 untuk kos bahan api dan keperluan lain.

"Kita nak halau pun tak boleh sebab bot mereka lebih besar. Bot pukat tunda terbabit lengkap dengan alatan GPS dan solar dan mereka akan nampak sekiranya ada unjam atau bubu nelayan," katanya yang berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu.

Zakaria Embong, 59, berkata, kegiatan itu dipercayai dilakukan bot pukat tunda dari Kuantan dan Johor yang sanggup menceroboh perairan Paka kerana perairan berkenaan memang banyak ikan.

Perbuatan itu, katanya, bukan saja menyebabkan unjam dan bubu nelayan pantai dimusnahkan, malah turut membunuh anak ikan yang tidak sempat membesar.

"Mereka yang memiliki bot kelas B dan C sepatutnya menangkap ikan di kawasan lebih 10 batu nautika namun sanggup menceroboh masuk sehingga ke kawasan pantai.

"Perbuatan mereka seolah-olah meletakkan pasir ke dalam periuk kami nelayan pantai yang hanya ada bot kecil dan tak mampu pergi ke tengah laut.

"Saya kerugian hampir RM10,000 selepas unjam dan bubu rosak. Apalah saya nak beri anak dan isteri makan apabila dikhianati secara begini," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 11:12pm
d