mutakhir

Kebersihan restoran tidak memuaskan

Oleh Samadi Ahmad

DUA premis menjual makanan diarahkan tutup oleh Perbadanan Putrajaya kerana tidak mematuhi kebersihan menerusi Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan di Presint 8, Putrajaya, hari ini.

Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail berkata, dalam serbuan sama, sebanyak 10 kompaun dan empat notis amaran dikeluarkan kepada pemilik premis kerana tidak mematuhi amalan kebersihan ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di restoran dan gerai makan di kawasan ini kerana ramai pengusaha masih mengabaikan aspek kebersihan sekali gus boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

"PPj tidak akan berkompromi dalam soal kebersihan makanan kerana ia bermula daripada penyediaan makanan di dapur," katanya pada sidang media sejurus operasi berkenaan, di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Pegawai Kesihatan Persekitaran PPj Azman Ahmad.

Katanya, operasi bermula 2.30 petang dan berakhir pada 4 petang itu bertujuan memastikan premis menjual makanan mematuhi peruntukan Akta Makanan 1983 dan Undang-Undang Kecil Penempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2016.

Dalam pada itu, Hasim berkata, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan sijil halal terhadap premis makanan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini bermula awal tahun hadapan.

Menurutnya, pelaksanaan itu wajib dipatuhi peniaga sama ada bagi permohonan baharu atau pembaharuan lesen sedia ada.

"Pendekatan dilakukan selepas kami mengadakan perjumpaan bersama komuniti peniaga bagi menerangkan perancangan pelaksanaan itu.

"Sijil halal akan memberi lebih keyakinan kepada pengguna terutama dalam soal kebersihan makanan serta proses penyediaan makanan di premis," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan mengadakan kempen kesedaran sijil halal dalam kalangan peniaga sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 11:40pm
d