mutakhir

NMIM lancar MyRM Gold

Oleh HM Digital

Shah Alam: Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) melancarkan Bahan Rujukan Standard Emas (MyRM Gold) bagi memastikan semua alat pengukur ketulenan emas adalah berdasarkan Unit Sistem Antarabangsa (SI Units).

Bahan rujukan itu bagi menggalakkan perdagangan adil dan saksama meniaga emas di Malaysia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, ia amat penting bagi semua alat pengukuran ketulenan emas di Malaysia mempunyai kebolehkesanan melalui kaedah tentukuran kepada satu piawaian saja iaitu MyRMGold.

“Bahan rujukan ini sudah dibangunkan sendiri oleh NMIM pada penghujung tahun lalu. Institut ini dilantik sebagai Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675).

“Dalam melaksanakan mandat dan tanggungjawab ini, NMIM berperanan memastikan penyeragaman unit pengukuran di Malaysia selain mempunyai kuasa untuk mengeluarkan bahan rujukan dan menyebarkan unit pengukuran bahan rujukan kepada pihak berkepentingan,” katanya pada Majlis Pelancaran MyRM Gold, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Profesor Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Pengarah Kanan NMIM Dr Osman Zakaria dan Pengarah Urusan Sirim QAS International Sdn Bhd Mohd Azanuddin Salleh.

Abu Bakar berkata, NMIN juga sudah mula memberikan Sijil MyRM sejak Mac 2017 bagi tentukuran densimeter, tentukuran XRF, pengukuran ketumpatan emas dan pengukuran ketulenan emas.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 5:59am
d