mutakhir

Taraf kelulusan pekerja meningkat

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Pekerja dengan kelulusan diploma, sijil dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.6 peratus pada 2015 berbanding 2010.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan Statistik Pekerja dan Gaji serta Upah, kira-kira 1.9 juta pekerja di negara ini mempunyai kelulusan berkenaan pada 2015 berbanding hanya 984,000 pada 2010.

Bagaimanapun, katanya, pekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia/ Vokasional (SPM/SPMV) atau yang setaraf masih mendominasi jumlah pekerja di negara ini dengan 3.7 juta pada 2015.

“Selain itu, pekerja di bawah taraf kelulusan SPM atau SPMV menunjukkan kadar penurunan 2.8 peratus daripada 2.4 juta pada 2010 kepada 2.1 juga pada 2015.

“Ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan sistem pendidikan negara apabila kini taraf kelayakan di bawah SPM atau SPMV berkurangan,” katanya pada pembentangan pelancaran Penerbitan Parameter Banci Ekonomi 2016 Bagi: Statistik Mystate, Statistik Statistik Pekerja dan Gaji & Upah serta Statistik Halal di sini, semalam.

Seterusnya, beliau berkata, 857,000 pekerja berkelulusan ijazah sarjana muda dan 87,000 pekerja di negara ini berkelulusan pasca siswazah berdasarkan statistik 2015.

Pada masa sama, Dr Mohd Uzir berkata, 8.7 juta pekerja bekerja di sektor formal swasta pada 2015 berbanding 6.9 juta pada 2010 dengan peningkatan purata pertumbuhan tahunan 4.7 peratus.

“Daripada keseluruhan bilangan ini, 67.7 peratus atau 5.9 juta pekerja adalah lelaki manakala 32.3 peratus atau 2.8 juta pekerja wanita,” katanya.

Tiga penerbitan iaitu Statistik Mystate, Statistik Statistik Pekerja dan Gaji & Upah serta Statistik Halal yang dilancarkan semalam selaras dengan inisiatif Jabatan Perangkaan untuk menerbitkan 12 laporan khas berasaskan parameter Banci Ekonomi 2016 secara berperingkat.

Melalui banci itu, maklumat seperti hasil, perbelanjaan, keuntungan, aset, bilangan pekerja, gaji dan upah dibayar serta perubahan struktur ekonomi bagi tempoh lima tahun dapat diperoleh.

Penerbitan banci itu untuk mengkaji penemuan daripada dimensi berbeza selari usaha Jabatan Perangkaan untuk merakyatkan statistik.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 6:05am
d