mutakhir

Kami pun mangsa!

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Seorang ustazah berusia 48 tahun yang dikatakan memperdaya 25 mangsa dengan menawarkan pakej umrah menafikan perbuatan itu sebaliknya mendakwa dirinya menjadi mangsa seorang wanita yang menetap di Makkah yang dipertanggungjawab menguruskan pakej itu.

Dia yang enggan dikenali berkata, kejadian ini kali pertama berlaku sejak menjadi ketua rombongan jemaah umrah dua tahun lalu dan dia tiada niat langsung menipu mangsa.

Menurutnya, sebelum ini, dia berurusan dengan agensi pelancongan lain yang menawarkan pakej umrah dan tidak menghadapi masalah seperti itu.

“Bagaimanapun ahli rombongan saya yang terdiri daripada mereka yang berusia mengeluh kerana perlu transit sebelum ke Makkah dan mahu penerbangan terus ke Tanah Suci.

“Jadi tahun ini saya cuba memenuhi permintaan mereka sebelum seorang wanita bergelar ustazah yang tinggal di Makkah menawarkan pakej umrah menerusi penerbangan terus,” katanya di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) di Simpang Kuala di sini, semalam.

Katanya, dia yang mengenali wanita itu sebelum ini ketika bertemu dengannya di Makkah beberapa kali bersetuju menggunakan perkhidmatan yang menguruskan pengangkutan, makan dan tempat tinggal manakala visa diserahkan kepada agensi pelancongan lain di sini.

“Selain itu, tiket penerbangan diuruskan seorang ustaz yang juga kenalan wanita terbabit yang mengusahakan agensi pelancongan di Kuala Lumpur.

“Malah saya ada bukti penyerahan wang mereka kepada wanita terbabit sebanyak RM118,000 melalui transaksi bank,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka perkara itu terjadi selepas wanita terbabit memberi pelbagai alasan sehingga kini.

“Saya sudah membuat pertemuan dengan 25 mangsa untuk menjelaskan keadaan sebenar semalam (kelmarin) dan mereka faham malah sepakat ingin wanita terbabit memulangkan semula wang mereka.

“Saya berharap wanita terbabit memulangkan semula wang itu kerana tidak sangka niat baik saya membantu orang mengerjakan umrah terjadi seperti ini,” katanya.

Mangsa Dzulkifli Abdullah, 51, berkata, selepas mendapat penerangan daripada ustazah itu, dia memahami masalah yang berlaku sebenarnya.

“Kami sepakat tidak ingin meneruskan pakej umrah ini selepas mengeluarkan belanja RM7,100 seorang dan berharap wanita terbabit memulangkan semula wang kami,” katanya.

Setiausaha CAKE Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat lanjut untuk membantu mangsa pakej umrah berkenaan.

“Kita sudah mendapat penerangan lanjut daripada ustazah yang turut menjadi mangsa dan jumlah mereka yang tampil membuat aduan bertambah 15 berbanding 10 orang sebelum ini,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan 10 mangsa mendakwa tertipu dengan pakej umrah membabitkan kerugian RM71,000.

Mereka sepatutnya mengerjakan umrah pada 6 Disember lalu namun ditunda dengan alasan sama iaitu tiket penerbangan tiada dan dijanjikan penerbangan seterusnya pada 9 Disember dan terakhir Ahad lalu namun hampa.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 6:11am
d