mutakhir

Salur RM90j tangani hakisan pantai

Oleh HM Digital

Kuala Nerus: Kerajaan Pusat akan menyalurkan peruntukan RM90 juta bagi menangani masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Mengabang Telipot di sini, setiap kali musim tengkujuh.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan itu akan disalurkan sebaik saja kajian untuk kerja membaik pulih kawasan hakisan sepanjang enam kilometer terbabit selesai.

“Saya dimaklumkan kajian yang mula dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermula awal Januari lalu berada di peringkat akhir.

“Kajian sedang berjalan dan kita serahkan kepada JPS untuk menentukan bentuk penyelesaian yang bersesuaian bagi menangani hakisan yang berlaku.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita sudah menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM2 juta untuk kerja menangani hakisan yang berlaku membabitkan melindungi kawasan pantai daripada terus terjejas,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan hakisan di Pantai Kolam di sini, semalam.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga bersedia memberi peruntukan tambahan sekiranya peruntukan segera RM2 juta yang disalurkan tidak mencukupi.

“Saya juga dimaklumkan JPS akan menghantar satu pasukan Pakar Kejuruteraan Pantai bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlarutan sejak tiga tahun lalu di Mengabang Telipot.

“Pasukan itu akan meninjau bagi mengenal pasti punca hakisan dalam masa terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 6:19am
d