mutakhir

Mohon jurubahasa isyarat

Oleh Norrasyidah Arshad

Kuala Langat: Mahkamah Majistret Telok Datuk di sini, menangguhkan prosiding kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Rabu lalu, pada 25 Januari depan.

Ia berikutan, tertuduh, Khang Chang Heng, 38, yang dihadapkan ke mahkamah semalam, tidak dapat memberi reaksi terhadap pertuduhan pertama yang dibacakan terhadapnya kerana masalah pekak dan bisu.

Justeru, Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali, memohon jurubahasa isyarat dari Majistret Mohd Isa Md Nor.

Ain Fadilla turut memohon Mohd Isa memberikan satu tarikh baru bagi sebutan semula kes.

Mohd Isa membenarkan permohonan berkenaan dan memerintahkan jurubahasa sesuai disediakan pada tarikh sebutan semula kes itu.

Terdahulu, Khang tidak memberi sebarang reaksi atas tuduhan membunuh warga emas Chia Tee Nang.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh Tee Nang, 73, di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, antara jam 4 hingga 5 pagi, 13 Disember lalu.

Difahamkan, tertuduh berdepan lima tuduhan membabitkan Seksyen 302 KK dan 324 KK.

Dalam kejadian jam 6.30 Rabu minggu lalu, sekeluarga membabitkan dua warga emas dan dua kanak-kanak lelaki maut dipercayai dibunuh dan dibakar.

Mangsa adalah Lim Mai Shak, 68, Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka iaitu Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi, masing-masing berusia tiga tahun dan 10 tahun.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 6:27am
d