mutakhir

Empat sekeluarga kantoi dadah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

POLIS Kelantan menahan empat sekeluarga dan merampas sebanyak 436 gram dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan jam 4 petang itu merampas dadah bernilai RM218,000.

Katanya, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota risik Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki dan dua wanita berusia antara 16 hingga 40 tahun

"Suspek utama lelaki bekerja sebagai buruh berusia 23 tahun ditahan bersama kakaknya berusia 40 tahun serta dua anak saudaranya lelaki dan perempuan masing-masing berusia 18 dan 16 tahun.

"Ketika serbuan, suspek lari dan bersembunyi dalam bilik air di rumahnya sebelum mencampakkan satu bungkusan surat khabar yang mengandungi dadah di atas bumbung rumah jiran.

"Pasukan kita terpaksa memecahkan bilik air dan menemui suspek bersama satu beg hitam mengandungi dadah jenis heroin dan satu bungkusan di atas bumbung rumah jirannya dengan jumlah sebanyak 109 botol," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bekalan dadah diambil dari seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Pak Ya' menerusi pangkalan haram di Rantau Panjang untuk pasaran di Kelantan.

Katanya, lelaki berkenaan mendapat upah RM250 untuk menyimpan dan mengedar dadah itu.

"Kita menahan lelaki berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Empat sekeluarga itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini," katanya.

Menurutnya, lelaki itu bergiat aktif mengedar dadah sejak dua bulan lalu.

Pada masa sama, Hasanuddin berkata, sejak Januari hingga hari ini sebanyak 13,838 kes kesalahan dadah dengan tangkapan 16,334 orang membabitkan nilai lebih RM11.6 juta.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 2:41pm
d