mutakhir

Patutlah lari

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI yang memandu kereta curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu merempuh kereta polis ketika melarikan diri dalam kejadian di sebuah bengkel kereta di Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira jam 6.15 pagi hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, anggota memperkenalkan diri kepada suspek berusia 40 tahun yang sedang tidur di dalam kereta Proton Waja yang berkunci di hadapan bengkel berkenaan.

Beliau berkata, sebaik terjaga daripada tidur, suspek bukan sahaja enggan membuka pintu sebaliknya menghidupkan enjin kereta tanpa menghiraukan arahan diberikan.

"Suspek kemudian memandu kereta Proton Waja itu ke hadapan dan melanggar tiang rumah sebelum bertindak mengundur dan melanggar kereta pasukan yang ada di belakangnya.

"Melihat suspek yang tidak mahu memberikan kerjasama, anggota bertindak memecahkan cermin kereta bahagian pemandu dan penumpang hadapan bagi menghalangnya melarikan diri.

"Suspek berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dan pemeriksaan lanjut menemui sebilah parang berhulu besi, sebilah pisau berhulu kepala binatang dan sebilah sabit berhulu besi panjang di dalam kereta berkenaan," katanya.

Mohd Zamri berkata, suspek bersama barang yang dirampas dibawa ke IPD Besut untuk siasatan lanjut sebelum pemeriksaan mendapati kereta Proton Waja dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Kuala Terengganu.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah sebelum ini.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 8:42pm
d