mutakhir

Geng Itik terjerat

Oleh Faliq Lajim

Klang: Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah dan melarikan kenderaan dilakukan kumpulan dikenali sebagai Geng Itik dengan tertangkapnya seorang lelaki di sekitar Setia Alam, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan ketika memandu kereta Toyota Camry yang dicurinya, kira-kira jam 1.30 pagi.

“Ketika ditahan, berlaku sedikit pergelutan berikutan suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, dia ditahan bersama beberapa peralatan pecah rumah dan sejumlah dadah jenis heroin dan syabu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut menemui tiga kenderaan milik mangsa iaitu Proton Waja, Proton Saga dan sebuah motosikal Honda RS150R di sekitar Bandar Baru Klang, dekat sini, kira-kira jam 4 pagi hari sama.

“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan dua lagi kenderaan iaitu Proton Waja dan lori jenis Inokom di Sabak Bernam jam 6 petang.

“Berikutan penahanan itu, kita menyelesaikan tujuh kes masing-masing di Nusa Bestari, Johor, Puchong, Sabak Bernam dan Klang,” katanya.

Kata Mazelan, suspek dipercayai bergiat aktif dengan kegiatan haram itu sejak lebih setahun dan pernah dipenjarakan atas kesalahan sama.

“Hasil saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman hingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan) serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengesan dua lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 5:45am
d