mutakhir

Demi sebiji bola

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Kalaulah saya nampak dari awal arwah ke laut semata-mata untuk mengambil bola anak saudaranya, memang saya akan halang. Sekarang hanya kerana sebiji bola, nyawanya tergadai.

“Sayu melihat arwah terkapai-kapai di dalam air sebelum tenggelam dan lenyap daripada pandangan kami dan kejadian berlaku amat pantas,” kata Rohaya Rahmat, 57, ibu kepada lelaki yang lemas di Pantai Puteri, di sini, semalam.

Perasaan lega jelas terpancar pada raut wajah wanita itu dan ahli keluarganya yang lain selepas mayat Mohamad Rohim Rohani, 35, ditemui kira-kira 400 meter dari lokasi dia dipercayai lemas pada jam 4.52 petang.

Terdahulu, dalam kejadian jam 11.30 pagi, Mohamad Rohim yang sedang memancing bersama adik iparnya cuba membantu mengambil bola milik anak saudaranya yang terjatuh ke dalam laut.

Mangsa yang belum berkahwin berasal dari Rantau Panjang, Klang, Selangor datang ke Melaka untuk bercuti bersama ahli keluarganya sejak kelmarin.

Rohaya berkata, ketika kejadian, dia bersama ahli keluarga yang lain berkelah di tepi pantai manakala anak lelaki tunggalnya itu bersama menantu memancing tidak jauh dari lokasi mereka berada.

Katanya, pada masa yang sama, cucunya bermain di kawasan berhampiran sebelum bola berkenaan tiba-tiba terjatuh ke dalam laut.

“Saya terkejut apabila mendengar bunyi riuh-rendah dan sejurus menoleh ke arah laut, saya melihat arwah seperti mahu berpatah balik ke pantai, namun dalam sekelip mata sahaja sudah tenggelam.

“Memang arwah berkelakuan pelik, sepanjang perjalanan ke Melaka dia tidak henti-henti ambil gambar, namun malam tadi (kelmarin), dia tiba-tiba mendiamkan diri, mungkin itu tanda dia akan pergi,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia juga berasa ada yang tidak kena dengan sikap arwah yang beriya-iya mencarinya untuk makan malam bersama walaupun hidangan sudah siap di meja.

“Arwah yang juga anak ketiga amat rapat dan menyayangi anak saudaranya, mungkin disebabkan itu, dia berusaha mengambil bola berkenaan,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Mohd Hadi Tajudin, 34, berkata, Mohamad Rohim dipercayai kepenatan berikutan bola cuba dicapainya itu terus dihanyutkan arus hingga ke tengah laut lalu cuba mengapungkan diri untuk berehat seketika sebelum kembali ke pantai.

“Tetapi tiba-tiba sahaja dia tenggelam, saya dan penduduk kampung menyedari kejadian itu dan cuba bantu tetapi tidak sempat.

“Penduduk yang cuba membantu memberitahu dia hampir berjaya mencapai tangan arwah sebelum abang ipar saya itu tenggelam,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 6:11am
d