mutakhir

Elak bersesak

Oleh Nur Sufiah Abd Halim

Kuala Lumpur: Menjelang sesi persekolahan 2018 bermula, ibu bapa semakin sibuk membeli pakaian dan barang-barang keperluan persekolahan anak mereka bagi mengelak bersesak pada saat akhir.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, semalam mendapati ramai ibu bapa sanggup mengambil cuti pada hari bekerja untuk membeli barangan persekolahan anak mereka kerana tidak mahu bersesak pada hujung minggu.

Ibu kepada dua anak, Fadilah Abd Karim, 54, berkata dia membawa anaknya ke Jalan TAR untuk membeli kelengkapan persekolahan yang belum mencukupi.

“Anak-anak masih di sekolah rendah, jadi tahun ini baju sekolah mana yang boleh pakai lagi, pakai semula untuk tahun hadapan.

“Barangan sekolah tahun ini agak mahal berbanding tahun lalu dan saya hanya mampu membeli barang yang perlu saja untuk mereka,” katanya ketika membeli barangan sekolah di sebuah gedung pakaian terkenal.

Farisha Rofizal, 12, berkata tidak sabar menantikan sesi persekolahan 2018 kerana akan memasuki sekolah menengah.

“Masih banyak keperluan yang belum cukup terutama baju dan kasut sekolah kerana kesibukan ibu bapa untuk mendapatkan cuti.

“Hari ini peluang saya dan keluarga untuk keluar membeli-belah barang keperluan saya dan adik beradik yang masih tidak cukup, malah suasana hari ini (semalam) tidak terlalu sibuk seperti hujung minggu,” katanya.

Juruteknik, Mohd Hafiz Mohd Jamal, 40, berkata baru semalam dia membelikan kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Baju sekolah yang baru ini juga sebagai memberi semangat dan sokongan untuk mereka memulakan sesi persekolahan.

“Walaupun mungkin sedikit lewat membuat persiapan kelengkapan sekolah, harga yang ditawarkan pada saat akhir jauh lebih murah,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 6:20am
d