mutakhir

Kak Ton tipu jemaah umrah [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

"HENDAK tunggu giliran pergi (menunaikan) haji lambat lagi, jadi saya bercadang untuk mengerjakan umrah, hendak jugalah merasa nak menjejakkan kaki di Tanah Suci.

"Namun tidak sangka pula impian saya itu terkubur apabila individu yang bertanggungjawab menguruskan pakej umrah itu gagal menunaikan janjinya dan wang yang dibayar juga tidak dapat dikembalikan," kata warga emas Samah Lidai, 66.

Samah antara 48 jemaah umrah dari FELDA Keratong di Muadzam Shah, Rompin yang ditipu seorang individu bernama 'Kak Ton' berhubung pakej umrah yang membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM300,000.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, dia bersama lima ahli keluarga yang lain sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada awal bulan ini seperti yang dijanjikan Kak Ton.

Katanya, Kak Ton memaklumkan dia dari sebuah syarikat yang melakukan pelbagai perniagaan dan berpangkalan di Kamunting, Perak.

Difahamkan, syarikat itu akan bekerjasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar mereka mengerjakan umrah.

Katanya, mereka sekeluarga membayar RM5,000 seorang untuk pakej umrah itu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya.

"Kami sudah membuat pembayaran penuh pada November 2016 dan segala persiapan sudah dilakukan..saya rasa teruja sangat kerana ini adalah kali pertama saya ke sana (Makkah).

"Namun kecewa apabila Kak Ton memaklumkan syarikatnya tidak mampu untuk menghantar kami dan menanggung segala pembayaran serta memberi pelbagai alasan yang tidak masuk akal," katanya.

Anak Samah, Noorkhamilasari, 36, berkata, Kak Ton tidak memaklumkan sebarang perkembagan mengenai status pakej itu seperti kursus umrah atau tarikh untuk berlepas kepada mereka.

"Hanya selepas kami bertanya kepadanya saja barulah dia memberitahu bahawa tidak dapat menguruskan pemergian kami ke sana kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.

"Dia juga berkata, wang yang kami bayar itu digunakan pemilik syarikat berkenaan untuk dijadikan modal menjalankan perniagaan. Apabila kami memintanya mengembalikan semula wang berkenaan, dia tidak dapat berbuat demikian," katanya.

Kira-kira 20 daripada 48 jemaah umrah berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah berhubung perkara itu, hari ini .

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Izzat Fahmi Abdullah Sani, 26, berkata, Kak Ton meminta jumlah bayaran yang berbeza daripada jemaah untuk pakej berkenaan.

Katanya, dia membayar RM9,000 untuknya serta kedua ibu bapanya, ada juga penduduk lain yang membayar RM4,000 seorang.

"Kami ada ajak Kak Ton untuk bertemu dan menjelaskan masalah yang dihadapinya sehingga gagal menguruskan pakej umrah kami ini, namun dia seperti mengelak dan memberi banyak alasan.

"Sebelum ini, dia ada membawa beberapa kumpulan jemaah umrah lain ke Tanah Suci dan tiada masalah, jadi atas dasar percaya dan dia juga berasal dari FELDA Keratong kami menyertai pakej umrah yang ditawarnya," katanya.

Menurutnya, laporan polis yang dibuat mereka bukanlah untuk menyalahkan sesiapa tetapi mahu mendapatkan semula wang yang sudah dibayar selain untuk memberi pengajaran kepada Kak Ton.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 2:12pm
d