mutakhir

'Sarang' kena serbu

Oleh Fardy Bungga

SERAMAI 23 individu termasuk warga asing ditahan dalam operasi bersepadu cegah jenayah di tujuh lokasi berasingan di sekitar Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam operasi selama enam jam bermula pada 1.30 pagi, empat lelaki ditahan selepas didapati terbabit dengan kesalahan dadah, manakala selebihnya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, operasi bersepadu bersama lima agensi penguatkuasaan itu dijalankan dengan kekuatan 84 anggota termasuk pegawai.

Katanya, seramai 110 individu diperiksa dalam operasi di beberapa rumah kongsi di Kolombong dan Jalan Bantayan, selain kawasan perumahan setinggan di Batu 7, Jalan Tuaran, Kingfisher Sulaman, Sembulan serta pasar Filipina.

“Antara yang ditahan adalah 14 lelaki dewasa, empat wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat hingga 53 tahun.

“Tumpuan lokasi operasi adalah rumah setinggan yang mana kadar pertumbuhan PATI membimbangkan di samping mengundang kepada kegiatan jenayah,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut termasuk proses dokumentasi dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha membanteras masalah PATI di daerah ini selain pencegahan jenayah.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 2:32pm
d