mutakhir

Ibu tunggal rayu bantu anak OKU

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

"SATU tin susu khas hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja." Itu kata seorang ibu tunggal yang begitu memerlukan bantuan bekalan susu khas untuk anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) berikutan dibelenggu masalah kewangan sejak kematian suami, empat tahun lalu.

Umi Kelsom Ree, 56, berkata anak kedua daripada empat beradik, Norjan S Ahmad, 33, perlu diberi minum susu khas tiga jam sekali melalui tiub dipasang di hidung, sekali gus memerlukannya memperuntukkan hampir RM1,000 untuk susu khas berkenaan dalam sebulan.

Menurutnya, harga susu itu RM90 untuk satu tin seberat 850 gram (g) dan akan menggunakan kira-kira 11 tin susu dalam sebulan tidak termasuk kos keperluan lain seperti lampin pakai buang dan tiub makanan yang perlu ditukar dua minggu sekali berharga RM120.

"Saya tidak mampu membeli tilam dan katil khas buat Norjan menyebabkan dia hanya terlantar menggunakan kerusi malas sekali gus menyebabkannya rasa kurang selesa.

"Selain itu, saya juga perlu mengalihkan badannya selang beberapa minit bagi mengelakkannya berasa lenguh di samping menghindarkan berlaku luka di belakang badan akibat berpeluh," katanya ketika ditemui di Kuala Juru, Bukit Mertajam, semalam.

Menurutnya, sebelum ini dia bergantung kepada pendapatan suami S Ahmad Shiraldin yang bekerja sebagai nelayan untuk membeli bekalan susu khas, namun arwah sudah pergi buat selama-lamanya kerana sakit buah pinggang dan kencing manis.

Sejak itu, katanya, dia hilang punca kewangan dan mengharapkan elaun OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas nama Norjan sebanyak RM300 setiap bulan, namun masih tidak mencukupi.

"Bekalan susu khas pernah terputus menyebabkan saya memberi Norjan makan air nasi mendidih dan susu biasa walaupun doktor tidak membenarkan berbuat demikian.

“Walaupun tiga anak lain bekerja, namun mereka mempunyai komitmen keluarga masing-masing selain pendapatan pula hanya cukup-cukup makan sahaja," katanya.

Menurutnya, Norjan berstatus OKU sejak lahir menyebabkan pergerakannya terbatas, namun masih boleh mengengsot dan merangkak.

Katanya, selepas Norjan terkena serangan jantung pada awal Mac lalu, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dalam keadaan koma dan tidak sedarkan diri selama dua minggu.

"Sejurus sedar, kesihatan Norjan bertambah buruk apabila kaki dan tangannya menjadi keras, membengkok dan hanya mata sahaja mampu melihat, sekali gus perlu menerima rawatan serta perhatian daripada doktor yang memakan masa selama empat bulan di HBM.

"Doktor juga menasihatkan saya supaya tidak membiarkan Norjan berseorangan kerana bimbang berlaku serangan jantung buat kali kedua,” katanya.

Katanya, dia memerlukan modal untuk membuka gerai runcit kecil-kecilan di hadapan rumahnya untuk menjana pendapatan harian di samping memerlukan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 157091246849 atas nama Umi Kelsom atau menghubungi talian 011-24192748.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 4:28pm
d